Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Mangsa Bot Karam Terima Bantuan Perkeso Sepanjang Pemulihan

By 45 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 24 Jul (MalaysiaAktif) –Seorang pembantu tadbir yang cedera akibat tragedi bot karam ketika mencandat sotong di perairan Terengganu awal bulan ini menerima bantuan kewangan dan rawatan sepanjang tempoh pemulihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Muhammad Farris Zakwan Mohd Ibrahim, 33, merupakan pencarum aktif di bawah LINDUNG Pekerja (Akta 4), sekali gus layak menikmati perlindungan LINDUNG 24 Jam.

“Perlindungan ini memberi kelegaan kepada saya untuk memberi tumpuan kepada rawatan dan fisioterapi tanpa terlalu memikirkan kehilangan pendapatan.

“Saya berharap lebih ramai pekerja mengetahui bahawa perlindungan PERKESO bukan hanya ketika berada di tempat kerja kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya pada sesi penyerahan caruman oleh Perkeso, di sini semalam.

Melalui perlindungan itu, beliau menerima Faedah Perubatan serta Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) bagi tempoh cuti sakit dari 4 hingga 21 Julai lepas berjumlah RM1,368, selain kos rawatan fisioterapi yang ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO bagi membantu proses pemulihan.

Berkongsi kisah malangnya dalam tragedi itu, Farris Zakwan berkata bot yang dinaikinya bersama sembilan individu lain karam dipukul ombak besar di perairan Terengganu pada 3 Julai lalu.

Beliau yang hampir lemas mengalami kecederaan parah pada pergelangan tangan kanan sehingga saluran darah utama, tendon dan otot terputus, selain luka koyakan pada jari telunjuk kiri serta kecederaan di bahagian belakang bahu sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Insiden itu turut mengorbankan seorang kru bot yang keletihan ketika membantu menyelamatkan penumpang.

Menurut PERKESO, insiden berkenaan membuktikan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira sama ada ketika bekerja atau bercuti.

LINDUNG 24 Jam oleh PERKESO mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 sebagai perlindungan kemalangan bukan bencana kerjadi dalam negara, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk pekerja Malaysia.

-AA-

Tinggalkan komen anda