
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah
MUKAH, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 79, Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu berhampiran Selangau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kejadian kira-kira pukul 2 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 72 tahun bersama isteri berusia 69 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Selangau, sebelum dipercayai dilanggar dari belakang oleh Perodua Bezza yang dipandu mangsa berusia 23 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan hilang kawalan. Toyota Hilux terbabas dari lorong kiri ke lorong kanan, manakala Perodua Bezza terbalik.
“Impak kemalangan menyebabkan pemandu Perodua Bezza tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah di kepala, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk proses bedah siasat, manakala pemandu Toyota Hilux dan isterinya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Muhamad Rizal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
-RJ-




