Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

Melaka Sasar 85,000 Ketua Isi Rumah Aktifkan E-Mel Rakyat

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fandy Azam (Melaka Tengah)

MELAKA, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Melaka menyasarkan seramai 85,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di 618 kampung tradisional mengaktifkan akaun E-mel Rakyat masing-masing bagi merealisasikan aspirasi 1 Rumah, 1 E-mel Rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata E-mel Rakyat dirancang menjadi asas kepada identiti digital tunggal rakyat Melaka menerusi integrasi berkonsepkan Single Sign-On secara berfasa dalam jangka masa panjang.

“Melalui pendekatan ini, satu identiti digital akan membuka akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri dengan lebih mudah, lancar dan selamat.

“Bukan itu sahaja, pelaksanaannya kelak turut melibatkan integrasi dengan pelbagai sistem utama kerajaan negeri, antaranya eTAPEM, MelakaPay, Sistem Tender Online Melaka, Lembaga Perumahan Melaka dan eTanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian E-mel Rakyat Negeri Melaka, di sini semalam.

E-mel Rakyat melalui domain rasmi @melaka.my disasar menjadi satu saluran komunikasi yang lebih tersusun, selamat dan dipercayai dengan setiap pengguna mempunyai alamat rasmi untuk menerima makluman penting daripada kerajaan dan penyedia perkhidmatan yang lain.

Sementara itu, beliau berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah dipilih sebagai Sekolah Rintis Inisiatif Kampung Digital Negeri Melaka.

“Saya dimaklumkan, pendaftaran E-mel Rakyat dalam kalangan guru serta murid di sekolah ini telah mencapai 100 peratus, manakala pendaftaran ibu bapa dan penjaga pula sedang dilaksanakan secara berfasa.

“Apa yang lebih membanggakan… sekolah ini telah membangunkan Hab Digital Pembelajaran Interaktif pertama di negeri Melaka yang menggunakan E-mel Rakyat sebagai pintu masuk rasmi,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda