
Laporan/Foto: Hamidah Len(Sabah)
KUALA LUMPUR, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Seorang wartawan mungkin menemui menteri, ketua pegawai eksekutif dan tokoh terkenal sepanjang kerjayanya.
Namun bagi Fauzrina Bulka kisah yang paling meninggalkan kesan bukan datang daripada mereka tetapi daripada masyarakat biasa yang bergelut dengan kehidupan setiap hari.
Bagi Wartawan Jabatan Penerangan Sabah itu, nilai sesebuah berita bukan hanya terletak pada siapa yang menjadi subjek laporan tetapi bagaimana kisah seseorang mampu membuka mata masyarakat terhadap realiti kehidupan yang sering terlepas pandang.
“Saya tidak memburu orang ternama. Saya lebih gemar mencari orang biasa yang mempunyai kehidupan luar biasa kerana di situlah lahirnya kisah yang mampu memberi makna kepada pembaca.
“Dunia kewartawanan mengajar saya memahami kesusahan dan kepayahan yang dilalui orang lain sebelum menterjemahkannya dalam bentuk penulisan yang jujur dan bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaAktif selepas terpilih sebagai antara 23 penulis yang menyumbangkan karya dalam buku Kisah Di Sebalik Kerjaya Seorang Wartawan yang dilancarkan sempena Malam Wartawan Malaysia 2026, semalam.
Lebih sedekad bergelumang dalam dunia kewartawanan sejak 2015, Fauzrina berkata profesion itu mengajarnya melihat kehidupan daripada sudut yang berbeza, jauh daripada pengalaman sendiri.
Merentasi Laut China Selatan, meredah Gunung Kinabalu, melawat sekolah atas air di Semporna, mendaki bukit sampah hingga menaiki perahu Lepa setiap tugasan memberi peluang kepadanya memahami kisah manusia yang berada di sebalik sesuatu isu.
Menurutnya, pengalaman turun padang membentuk cara beliau menulis kerana selain menyampaikan maklumat, wartawan menjadi penghubung antara masyarakat dan dunia luar.
“Sesebuah laporan yang baik tidak lahir hanya daripada fakta yang dikumpulkan tetapi memerlukan penyelidikan, pemerhatian, pengesahan maklumat dan hubungan kepercayaan antara wartawan dengan sumber.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang, teknologi mungkin membantu mempercepatkan proses menghasilkan kandungan namun ia tidak mampu menggantikan pengalaman manusia di lapangan.
“Artikel yang mempunyai jiwa memerlukan pemerhatian, pengalaman dan sentuhan manusia. Wartawan perlu berada di lapangan untuk memahami emosi, cabaran dan realiti yang dilalui masyarakat,” katanya.
Fauzrina memaklumkan minatnya terhadap penulisan tidak hadir secara serta-merta ketika memulakan kerjaya.
Tanpa latar belakang akademik dalam bidang media, beliau membina kemahiran melalui pengalaman, pembelajaran kendiri dan kesungguhan memperbaiki mutu penulisan.
Sepanjang kerjayanya, Fauzrina menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Hadiah Utama Penulisan Rencana Cemerlang pada Malam Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2019, Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2019 bagi kategori Pelaporan Berita Hiburan, Budaya dan Seni (Bahasa Malaysia), Anugerah Merit Kewartawanan Alam Sekitar serta Hadiah Utama kategori Penulisan Special Report Sabah COVID-19 News (Bahasa Malaysia) pada 2021.
Hakikatnya, pencapaian terbesar seorang wartawan bukan sekadar trofi atau pengiktirafan, tetapi apabila sesuatu tulisan mampu memberi ruang kepada mereka yang selama ini tidak didengari.
“Di sebalik setiap berita yang dibaca masyarakat, ada kisah kehidupan yang hanya benar-benar difahami oleh wartawan yang turun ke lapangan dan bekerja dengan hati,” katanya.
-RJ-




