Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Midport Smart AI Penuhi Keperluan Strategik Industri Maritim

By 9 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahril Alias (Negeri Sembilan)/Media MBNS

PORT DICKSON, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Projek Pelabuhan Midport Smart AI di sini bakal mengisi keperluan strategik industri maritim Malaysia dengan memanfaatkan kedudukan Selat Melaka sebagai antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata projek itu mengisi keperluan strategik negara ketika permintaan terhadap sektor pengangkutan dan pelabuhan terus meningkat.

“Ini Midport Smart AI, ini bukan satu projek kecil. Dia mengisi satu keperluan strategik kerana Malaysia ini yang dikatakan negara maritim, dan pelabuhan ini strategik di Selat Melaka.

“Jadi, Selat Melaka ini jadi tumpuan di antara terusan yang paling sibuk di dunia. Jadi, kalau paling sibuk di dunia, dan kita nampak dia lalu lalang sahaja, tidak kita manfaatkan, kita ini tidak pintar,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pelabuhan berkenaan, di sini semalam.

Anwar berkata keperluan terhadap sektor pengangkutan dan pelabuhan kini semakin meningkat, justeru kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta penting bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur strategik negara.

“Bila dikemukakan projek ini yang tidak membebankan dana kerajaan, itu kita sambut baik. Apa lagi industrinya atau projek itu strategik, pelabuhan. Kemudian pendekatannya itu, super-efficient kerana pendekatan AI (kecerdasan buatan),” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan meletakkan Linggi dan Port Dickson dalam peta pembangunan yang lebih kompetitif di rantau ini.

“Jadi, sekarang ini, dengan kejayaan kita, Linggi dan Port Dickson sudah duduk dalam satu peta pembangunan yang agak setanding di rantau ini,” katanya.

Anwar berkata penggunaan teknologi seperti real time data analytics serta penekanan terhadap aspek kecekapan dan kelestarian adalah selari dengan keutamaan negara dalam bidang digital dan ekonomi.

“Ini semua hal-hal yang baru yang selari dengan dasar keutamaan kita; digital, ekonomi, soal tahap kecekapan, kepantasan yang boleh diselenggara untuk memacu ekonomi MADANI dan merealisasikan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0),” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda