Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Anugerah Masjid dan Surau Bersih Tumpuan Sambutan Ma’al Hijrah Kota Belud

By 2 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mahathir Mohd Kamal (Kota Belud)

KOTA BELUD, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Anugerah Maal Hijrah bagi masjid dan surau yang aktif, kemas dan bersih menjadi tumpuan sempena Sambutan Ma’al Hijrah 1448H/2026M peringkat daerah Kota Belud.

Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Belud, Madli Mansur berkata pihaknya menetapkan piawaian yang tinggi sebagai komitmen memastikan fasiliti berkenaan bebas dari sebarang isu kebersihan, mesra ibadah dan selamat.

Jelasnya, persekitaran yang kondusif juga antara elemen yang diutamakan di samping memastikan setiap fasiliti tandas di rumah ibadah berkenaan bebas daripada kawasan pembiakan nyamuk.

“Anugerah Masjid Bersih di Sabah dinilai berdasarkan piawaian ketat yang ditetapkan JHEAINS merangkumi beberapa kriteria utama seperti kebersihan persekitaran ruang solat, tandas yang bersih, kering dan berfungsi serta persekitaran luar yang bebas sampah.

“Selain itu, keselamatan dan saliran sistem perparitan yang lancar dan tidak tersumbat, tiada masalah takungan air atau pembiakan nyamuk serta langkah keselamatan yang teratur,” katanya pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam peringkat daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said semalam.

Tambah Madli, selain keceriaan dan landskap yang menarik pihaknya turut menitikberatkan kemudahan yang mesra jemaah masjid atau surau terutama melibatkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Penyelenggaraa fizikal dan menara masjid yang baik serta papan tanda yang jelas penting dalam penganugerah ini. Kriteria lain pula adalah pengurusan fasiliti seperti kelengkapan peralatan ibadah yang mencukupi, pencahayaan dan pengudaraan yang selesa.

“Kita juga melihat kepada kemudahan mesra jemaah OKU dan yang terakhir penilaian berdasarkan pentadbiran dan pengimarahan masjid dan surau perlu mempunyai rekod pengurusan kewangan telus, struktur organisasi sistematik, perancangan aktiviti yang aktif, dan pengurusan dana yang baik,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, Masjid Al-Hijrah Kampung Kuala Abai dan Surau An-Nur Kampung Narinang telah terpilih sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah untuk anugerah Anugerah Pertandingan Masjid Yang Aktif, Kemas dan Bersih.

Majlis sambutan Ma’al Hijrah berkenaan dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek mewakili Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Kota Belud 1448H/2026M juga dianugerahkan kepada Lamsil Hamidsor dari Kampung Taun Gusi Peninting.

-RJ-

Tinggalkan komen anda