
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Kumpulan nasyid SOUBA dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Nasyid Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Sarawak 2026 pada Jun lalu, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat kebangsaan.
Kejayaan itu diserikan lagi apabila lagu ‘Panggilan Kembali’ ciptaan pembimbing kumpulan Mohd Ikmal Al-Hadi Mohd Nazir meraih Anugerah Lirik Kontemporari Terbaik, membuktikan karya berteraskan dakwah mampu disampaikan secara kreatif kepada generasi muda.
Ketua kumpulan Rayyan Syah Hazlin berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen tinggi seluruh ahli yang berjaya mengimbangi latihan intensif di Surau Raudhatul Mukminin, SMK Sri Aman dengan tanggungjawab sebagai pelajar.
“Setiap pengiktirafan ini adalah hasil sinergi dan kesepakatan seluruh pasukan. Selain mengasah bakat, platform ini mengajar kami erti kepimpinan, membina keyakinan diri serta memperkukuh ukhuwah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurut Rayyan, persediaan mereka bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek vokal dan persembahan, malah turut menitikberatkan pengurusan masa, disiplin, kesihatan serta pengurusan kewangan.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berkata kumpulan itu berhasrat memperluas penyebaran mesej dakwah melalui platform digital dan media sosial.
SOUBA juga merancang untuk merakamkan lagu ‘Panggilan Kembali’ secara profesional serta memperbanyak penyertaan dalam program dan pertandingan di peringkat nasional.
“Kami berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai belia untuk melihat nasyid sebagai medium yang mampu membentuk sahsiah, menyemai nilai murni dan menyampaikan mesej dakwah secara kreatif kepada masyarakat,” jelasnya.
-RJ-







