
Laporan/foto: Mohd Firdauf Alias/Kelen Yap Soon Onn
TEMERLOH,13 Jul (MalaysiaAktif) – Perkhemahan Pandu Puteri Remaja dan Renjer Peringkat Negeri Pahang 2026 sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 10 yang menekankan pengurangan ketidaksamaan dan pemerkasaan masyarakat.
Isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datin Indera Norhayati Ismail pada Majlis Perasmian Penutup perkhemahan pada Jumaat lalu berkata perkhemahan tersebut bukan sekadar platform untuk mengasah kemahiran berkawad dan berkhemah, malah menjadi medan membentuk sahsiah, kepimpinan serta jati diri peserta.

Indera Norhayati (empat dari kiri) bersama peserta dan tetamu jemputan.
“Diharapkan semua peserta berjaya menjadi individu yang sihat, berdaya saing dan berketerampilan,” katanya.
Seramai 408 ahli Pandu Puteri Remaja dan Renjer dari seluruh Pahang menyertai perkhemahan bertemakan Srikandi Puteri, di Kem Batu 5, di sini yang bermula pada 8 Julai lalu.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan pembelajaran, kepimpinan dan kerja berpasukan antaranya pertandingan STEM Challenge serta Cabaran Kecemasan Am yang menguji daya tahan fizikal, kemahiran menyelesaikan masalah dan disiplin diri.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi melahirkan lebih ramai golongan muda yang berilmu, berkeyakinan serta mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang berwibawa.
-RI




