Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Wartawan NSJA Dalami Sistem Demokrasi Lawat Parlimen

By 53 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zamri Mohamad (Miri)/NSJA

MIRI, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 24 ahli Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) menyertai lawatan rasmi ke Parlimen Malaysia dari 8 hingga 11 Julai lalu bagi meningkatkan kefahaman mengenai sistem demokrasi, proses penggubalan dasar serta fungsi institusi legislatif negara.

Delegasi yang diketuai Presiden NSJA Chai Chon Chin itu mengikuti sesi taklimat struktur Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan persidangan Parlimen.

Sepanjang program tersebut, peserta turut berinteraksi dengan beberapa pemimpin negara, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Luar Negeri Dato Lukanisman Awang Sauni serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol.

Selain itu, rombongan turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya serta melawat beberapa lokasi promosi warisan negara termasuk Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) dan Balai Seni Negara.

Menurut Chai, lawatan tersebut memberi peluang kepada pengamal media Miri memahami dengan lebih mendalam proses pembentukan dasar kerajaan.

“Program seperti ini amat bermanfaat kerana kami bukan sahaja dapat melihat sendiri perjalanan institusi Parlimen, malah berpeluang berinteraksi dengan pemimpin negara dan memahami proses pentadbiran yang menjadi asas kepada penyampaian berita lebih tepat serta berfakta,” katanya yang berharap lebih banyak program seumpama itu dianjurkan pada masa hadapan.

Bagi peserta lawatan Rokayah Gobik, pengalaman tersebut memberikan gambaran lebih jelas mengenai proses perbahasan berbanding hanya mengikuti laporan berita dan siaran televisyen sebelum ini.

“Apabila diberi peluang berada di Parlimen sendiri, saya dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana proses perbahasan dan perjalanan persidangan berlangsung,” ujarnya.

Dalam pada itu, peserta Freda Koh menyifatkan program berkenaan bukan sahaja menambah pengetahuan, malah menjadi platform mengukuhkan jaringan profesional dalam kalangan pengamal media, sekali gus menyokong penyampaian maklumat berintegriti kepada masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda