
Laporan/foto: Raszina Kawie (Samarahan)
KOTA SAMARAHAN, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Program Praktikal Bijak Kewangan Fasa 1 anjuran Jawatankuasa Penyelaras Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan Sarawak (JPPBGPS) Bahagian Samarahan memberi pendedahan kepada penjawat awam mengenai kepentingan perancangan kewangan sistematik serta pelaburan selamat bagi menjamin kesejahteraan masa hadapan.
Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Zalina Ibrahim yang bertindak sebagai penceramah memfokuskan taklimat kepada pemilihan instrumen pelaburan patuh syariah serta mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menurut Zalina, pendedahan itu serta kesedaran mengenai jenayah penipuan amat penting bagi mengelakkan peserta daripada terjebak dengan skim cepat kaya yang sering menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Ilmu pengurusan kewangan yang betul mampu membantu penjawat awam membuat keputusan pelaburan secara bijak serta mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan kewangan,” jelasnya, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata instrumen simpanan dan pelaburan yang sesuai untuk perancangan jangka panjang termasuklah Amanah Saham Bumiputera (ASB), Lembaga Tabung Haji (TH) untuk ibadah, serta Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“SSPN merupakan antara pilihan yang baik kerana dapat membantu ibu bapa menyediakan keperluan kewangan pendidikan anak-anak apabila mereka melanjutkan pengajian pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, terdapat 18 broker saham patuh syariah yang diiktiraf menawarkan platform pelaburan selamat melalui institusi perbankan dan syarikat pelaburan berlesen di negara ini.
Sementara itu, Pegawai Imigresen Daerah Samarahan Dayang Melur Awang Mat, 49, berkata program berkenaan meningkatkan kefahamannya mengenai pengurusan kewangan berkesan di samping membantu merancang simpanan masa hadapan.
Bagi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan Zaleha Junaidi, 39, program sedemikian wajar diteruskan kerana memberi pengetahuan berguna dalam mengurus perbelanjaan dan belanjawan keluarga dengan lebih berhemah.
-RJ-




