
Laporan/foto: Sophia Aren Erik/Mohammad Nazeri Arif (Tatau)
TATAU, 1 Julai (MalaysiaAktif) –Program UKAS Bersama Komuniti@Tatau 2026 yang berlangsung di Rumah Dali Bundan, Pasir Nangka, Jalan Sangan Merit semalam memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat terkini mengenai dasar kerajaan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata penganjuran program itu sempena sambutan Ngiling Bidai turut mengangkat nilai budaya serta adat masyarakat Iban sebagai warisan yang perlu dipelihara.
Pada program tersebut, beliau mengingatkan masyarakat supaya menggunakan media sosial secara berhemah serta memanfaatkan kemudahan pendidikan percuma yang ditawarkan Kerajaan Sarawak di beberapa institusi pengajian tinggi tempatan.
“Kerajaan Sarawak komited memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak negeri, maka gunakan peluang yang disediakan sebaik mungkin kerana pendidikan merupakan kunci membina masa depan yang lebih cemerlang,” kata John.
Beliau turut mengumumkan pemberian insentif kepada pelajar cemerlang peperiksaan SPM serta STPM di Tatau dan menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan rumah panjang baharu Rumah Dali Bundan.
Sementara itu, Tuai Rumah Dali Bundan, 51, berkata penganjuran program tersebut memberi peluang kepada komuniti setempat memperkenalkan kawasan mereka, selain menjadi peluang untuk penduduk menimba pengetahuan melalui perkongsian daripada agensi kerajaan.
Pempamer, Flora Lapik, 36, berkata program seumpama itu penting bagi memperkenalkan adat Ngiling Bidai kepada golongan muda agar warisan budaya masyarakat Iban terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
-RJ-




