Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SK Agama Ibnu Khaldun Johan Senam Sihat Kelab Doktor Muda

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Raszina Kawie (Samarahan)

KOTA SAMARAHAN, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun muncul johan kategori sekolah rendah bagi Pertandingan Senam Sihat Kelab Doktor Muda Peringkat Bahagian Samarahan yang berlangsung di Dewan Pancha Delima, SMK Hajjah Laila Taib, hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan sekolah berkenaan mengatasi Naib Johan SK Wira Jaya Penrissen dan pemenang tempat ketiga SK Sageng Simunjan, manakala SMK Hajjah Laila Taib dipilih sebagai wakil tunggal kategori sekolah menengah.

Kesemua pemenang bakal mewakili Bahagian Samarahan ke pertandingan peringkat Negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 20 September depan.

Secara keseluruhannya, program anjuran Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan itu disertai enam buah sekolah iaitu SK Agama Ibnu Khaldun Samarahan, SK Wira Jaya Penrissen, SK Sampun Tebun Asajaya, SK Moyan Laut Asajaya, SK Sageng Simunjan dan SMK Hajjah Laila Taib.

Pegawai Penerangan (Pendidikan Kesihatan) Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan merangkap Penyelaras Program Christy Alexander berkata, pertandingan tersebut bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti kecergasan.

“Program ini memberi galakan kepada sekolah untuk membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan pelajar di samping memberi penghargaan kepada ahli Kelab Doktor Muda dan guru penasihat yang aktif melaksanakan program kecergasan di sekolah,” katanya.

Bagi Guru SMK Hajjah Laila Taib Rapheal John Tagun, pertandingan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan, malah membentuk keyakinan pelajar untuk menjadi pembimbing rakan sebaya.

“Program seperti ini membantu murid dan guru membudayakan amalan hidup sihat di sekolah serta membina keyakinan pelajar untuk menjadi contoh kepada rakan-rakan dalam mengamalkan gaya hidup sihat,” jelasnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda