Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Wanita Dalam Sukan Bukan Sekadar Penuhi Kuota, Bawa Impak Lebih Besar

By 49 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Barina Nani / Bolhan Hj. Basah (Sarawak)

KOTA SAMARAHAN, 1 Julai (MalaysiaAktif) – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, kehadiran wanita dalam saf kepimpinan sukan bukan sekadar memenuhi kuota, sebaliknya membawa dimensi dan pendekatan pengurusan yang lebih menyeluruh.

Menurut beliau, wanita memiliki kelebihan semula jadi seperti empati, ketahanan tinggi, gaya komunikasi yang inklusif serta pendekatan pengurusan yang holistik.

“Malaysia tidak pernah kekurangan bakat wanita di atas padang, di gelanggang mahupun di kolam renang.

“Cabaran sebenar hari ini bukan lagi melahirkan atlet, tetapi melihat lebih ramai wanita beralih daripada seorang pemain kepada seorang pembuat keputusan.

“Kita mahu melihat lebih ramai wanita tampil sebagai jurulatih elit, pengadil bertaraf antarabangsa, presiden persatuan sukan dan pentadbir utama dalam industri sukan negara,” katanya ketika merasmikan Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Dr. Firdaus Abdullah berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti akademik atau kokurikulum, malah menjadi platform strategik untuk mengangkat peranan wanita dalam pembangunan sukan, kepimpinan, kesejahteraan komuniti dan pembangunan negara.

Program selama dua hari bermula 1 hingga 2 Julai itu menghimpunkan pemimpin wanita, pegawai sukan, jurulatih, atlet, ahli akademik, persatuan sukan serta agensi kerajaan bagi berkongsi amalan terbaik, pengalaman dan strategi dalam memperkasa kepimpinan wanita dalam sukan.

Jurulatih Persatuan Wushu Sarawak, Diana Bong Siong Ling menyifatkan program itu sebagai inisiatif yang amat baik daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengetengahkan potensi wanita sebagai pemimpin sukan.

“Peserta didedahkan dengan aspek pengurusan emosi, empati dan simpati yang penting untuk membentuk kepimpinan wanita yang lebih berkesan,” katanya.

Bagi peserta dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Liew Guo Chen, program itu memberi peluang kepada peserta untuk lebih memahami peranan wanita dalam pengurusan sukan.

“Penglibatan wanita dalam sukan kini semakin meningkat dan mereka mempunyai keupayaan untuk memimpin serta menyumbang kepada pembangunan sukan negara,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda