
Laporan/foto: Muhammad Irfan Azman Tuah/Mohammad Shafiq Rosidi (Ipoh)
SLIM RIVER, 4 sep (Malaysiaaktif) – Bertepatan dengan tema Malaysia Prihatin, seluruh rakyat Malaysia, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi wabak COVID-19.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Muallim Norhaidah Riboet, berkata sepanjang Bulan Kebangsaan ini, pelbagai program diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saban tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi agar rakyat terus semai rasa cinta kepada negara serta tidak kunjung padam sampai bila-bila.
“Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.
“Setelah sekian lama kita menikmati kebebasan dan kemerdekaan ini, amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya dibudayakan dalam kehidupan seharian dengan rela hati tanpa perlu menunggu adanya program Sambutan Bulan Kebangsaan kerana apabila amalan itu sudah kita amalkan, ia bermakna kita sudah berjaya menjiwai kemerdekaan negara kita,” katanya merasmikan Program Sepakat Merdeka@Komuniti di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak Hasan Ashaari Abu Bakar, Pegawai Kesihatan Daerah Muallim Doktor Ngaesah Abd Hamid dan Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim DSP Koo Tai Chew.
~RJ~