
Laporan/foto: Siti Mariam Mahdar/Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd
TAIPING, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Semangat kesukarelawanan dan kebersamaan masyarakat terus disemarakkan menerusi penganjuran Toyo Tires Charity Run 2026 yang berjaya menghimpunkan lebih 1,800 peserta di Dataran Kedamaian, Taman Tasik Taiping, semalam.
Program larian amal edisi keenam itu disertai pelari pelbagai peringkat umur, sukarelawan, wakil organisasi serta penduduk setempat dalam usaha menggalakkan amalan hidup sihat di samping mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan.
Inisiatif tersebut turut memberi manfaat kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, warga emas dan pelajar dalam komuniti setempat menerusi sumbangan yang disalurkan kepada beberapa organisasi kebajikan terpilih.
Selain acara larian, program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan yang menggalakkan penglibatan keluarga dan komuniti termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
Lebih 300 pelajar daripada beberapa sekolah menengah di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) turut mengambil bahagian, sekali gus memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kepentingan gaya hidup aktif serta semangat kesukarelawanan.
Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd (TTM), Mike Toh berkata program tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti dan menggalakkan penyertaan masyarakat menerusi aktiviti yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan penduduk.
“Sebagai sebahagian daripada komuniti Taiping sejak sekian lama, kami komited untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui program yang menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan komuniti,” katanya.
Sebagai penghargaan kepada peserta, penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah sepanjang program berlangsung.
Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim bersama Orang Besar Jajahan LMS, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Dato’ Seri Wan Mohd Isa Dato’ Wan Mohd Razalli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan serta Pegawai Daerah LMS, Mohd Nasrul Menhat.
-AA-





