
Laporan/foto: SitiHajar/Politeknik Ungku Omar
IPOH, 3 Jun (MalaysiaAktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) melakar sejarah apabila kembali menjadi tuan rumah Kem Tahunan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MALPTAAC) selepas 25 tahun.
Pengarah PUO Dr. Salmi Che’ Meh berkata MALPTAAC Siri 17 Tahun 2026 berlangsung bermula kelmarin sehingga 15 Jun ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia dan Rejimen 503 Askar Wataniah.
Beliau berkata penganjuran MALPTAAC selaras dengan aspirasi PUO dalam memperkukuhkan pembangunan pelajar TVET yang holistik dan berkarakter tinggi.
“PUO melahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan sekali lagi untuk menganjurkan program berprestij ini kerana pernah diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi edisi sulung MALPTAAC pada 25 tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya program itu bukan sahaja menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, malah memupuk semangat kepimpinan serta kerjasama yang menjadi nilai penting dalam pembentukan graduan masa hadapan.

Ketua Pengarah JPPKK bersama barisan kepimpinan Tentera Darat Malaysia dan PUO bergambar sempena Majlis Pembukaan MALPTAAC Siri 17/2026 di Padang Astaka PUO.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPPKK Dr. Shamsuri Abdullah berkata program seperti MALPTAAC memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja kompeten dari aspek teknikal, malah mempunyai jati diri yang kukuh, berdisiplin dan berupaya untuk memimpin.
“Pembangunan modal insan masa depan memerlukan keseimbangan antara kemahiran teknikal, nilai insaniah, dan semangat cintakan negara kerana MALPTAAC merupakan platform terbaik untuk membentuk mahasiswa,” katanya.
Program yang diperkenalkan sejak tahun 1999 itu dianjurkan dengan kerjasama JPPKK, Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia dan Rejimen 503 Askar Wataniah melibatkan penyertaan seramai 800 pelajar, 40 pensyarah dan 100 anggota Angkatan Tentera Malaysia dari seluruh negara.
Para peserta akan mengikuti pelbagai latihan dan aktiviti termasuk kawad kaki, merentas halangan, ujian menembak dan acara multi relay sukan serta Program Jiwa Murni bersama komuniti setempat.
-RI






