Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Catat 20,396 Kes Baharu

By 6 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Kes harian COVID-19 Malaysia kembali ke paras 20,000 dengan merekodkan 20,396 kes semalam, selepas dua hari berturut-turut merekodkan kes di bawah paras 20,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes harian Malaysia kelmarin ialah sebanyak 19,057 kes, manakala 19,378 kes pada Jumaat.

Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Facebook dan Twitter rasmi beliau memaklumkan, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini adalah 1,844,835 kes.

“Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,886 kes diikuti Sarawak (3,747), Johor (2,165), Sabah (2,136), Pulau Pinang (1,961) dan Kedah (1,587).

“Sementara Kelantan mencatatkan 1,078 kes, Perak (1,057), Terengganu (861), Kuala Lumpur (597), Pahang (486), Melaka (459) dan Negeri Sembilan (269),Perlis (78), Putrajaya (25) dan Labuan (empat),” katanya.

Mengenai kapasiti dan penggunaan katil hospital COVID-19, Dr Noor Hisham menerusi perkongsian infografik dalam hantaran berbeza memaklumkan penggunaan katil bukan unit rawatan rapi (ICU) di Malaysia adalah 75 peratus daripada 18,581 katil, manakala penggunaan katil ICU adalah 86 peratus daripada 1,586 katil, setakat 5 petang semalam (4 Sept).

Berdasarkan infografik itu, dua negeri mencatatkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 100 peratus iaitu Perlis (111 peratus) dan Pulau Pinang (108 peratus).

Bagi penggunaan katil ICU, tiga negeri merekodkan penggunaan melebihi 100 peratus iaitu Kedah dengan 123 peratus, diikuti Perak (108 peratus) dan Kelantan (103 peratus).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda