
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook JBPM Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Dua penghuni rumah teres dua tingkat ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas rumah mereka terbakar di Taman Ehsan Jaya di sini, semalam.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan l Rafie Ahmad Sareng berkata kebakaran berlaku pada 9.05 malam dan ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
“Anggota bomba yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat telah menemui mangsa yang tidak sedarkan diri dan telah memberikan rawatan awal CPR sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan unit EMRS bomba.
“Kebakaran telah memusnahkan hampir 60 peratus keseluruhan rumah dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.05 malam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata operasi melibatkan 30 anggota, dua buah jentera, satu buah utiliti Hilux dan satu buah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, dibantu BBP Tebrau dan Kempas.
Tambah Rafie, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.10 malam dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta kerugian yang ditanggung mangsa.
-AA-




