
Laporan/foto: U.Prakash/Muhamad Fakhruddin (Daerah Barat Daya)
BALIK PULAU, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Komuniti Nelayan Gertak Sanggul menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dengan menyertai program Konvoi Merdeka@Komuniti peringkat Parlimen Balik Pulau yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya sejauh dua kilometer baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pulau Pinang Dr.Haniff Hassan, berkata konvoi tersebut disambut baik meskipun dalam norma baharu.

Dr Haniff (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil nelayan di Gertak Sanggul bersama NGO Setempat.
“Hari Kemerdekaan disambut dengan cara ini juga mengajak orang ramai sama-sama menghayati dan meraikan hari kemerdekaan dengan penuh kegembiraan serta kesyukuran.
“Konvoi berkenaan melalui beberapa lokasi iaitu Unit Nelayan Teluk Kumbar, Dewan MPKK Bukit Gemuruh, Taman Kumbar Permai, Pasar pagi Taman Sahabat dan destinasi terakhir adalah Dewan MPKK Gertak Sanggul,” katanya ketika penyampaian bantuan barangan dapur kepada para nelayan di Dewan MPKK Gertak Sanggul, di sini.

Bendera, kit pencegahan COVID-19 dan kotak makanan diberikan kepada penerima terpilih semasa persinggahan di semua lokasi konvoi.
Dr. Haniff berkata dalam persinggahan di semua lokasi ini, peserta diberikan bendera, kit pencegahan COVID-19 dan kotak makanan kepada penerima terpilih.
“Lebih menarik, penduduk setempat turut mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang jalan sekali gus menyemarakkan suasana Hari Kemerdekaan semalam dan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini,” tambahnya.
Turut menyertai konvoi tersebut, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Pasukan BOMBA Sukarelawan Gertak Sanggul, Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Barat Daya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat turut memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64.
-ii-