Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Tapak Tol Pertama Negara Kini Berwajah Baharu Sebagai Hub Ekonomi Tani

By 3 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Azhar/Tamarriman (Muallim)

SLIM RIVER, 31 Mei (MalaysiaAktif) – Ramai menyangka Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) merupakan lebuh raya bertol pertama di negara ini, namun sejarah membuktikan sebaliknya apabila laluan bertol pertama Malaysia sebenarnya terletak di Jalan Persekutuan yang menghubungkan Slim River ke Tanjung Malim.

Menurut Jurutera Daerah Muallim, Ir. Yussaime Ahmad Yusuf, Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim mula beroperasi pada 16 Mac 1964 tepat jam 6 pagi dengan panjang jajaran sekitar 24 kilometer.

Tambah beliau lagi, laluan ini dibina bagi menggantikan jalan lama yang sempit dan berliku yang kini dikenali sebagai Jalan Slim Village.

“Ketika mula diperkenalkan, pengguna motosikal dikenakan bayaran tol sebanyak 50 sen, manakala kereta dan teksi dikenakan RM1 dan kenderaan lain-lain pula dikenakan caj RM2.

“Namun, selepas 28 tahun beroperasi, plaza tol berkenaan dimansuhkan pada tahun 1994 susulan pembukaan rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Laluan tersebut kemudiannya diserap semula sebagai Laluan Persekutuan 1 yang digunakan secara percuma,” ujarnya ketika ditemu ramah, kelmarin.

Kini, tapak bersejarah itu diberi nafas baharu apabila sebahagiannya dinaik taraf sepenuhnya menjadi Medan Agrobaazaar Tol Lama, Slim River pada Ogos tahun lalu.

Katanya, kawasan berkenaan kini berfungsi sebagai hub jualan hasil tani segar, produk hiliran dan hasil hutan komuniti tempatan, selain menjadi pusat sokongan ekonomi kepada usahawan kecil serta daerah Muallim.

Selain itu, kawasan tersebut turut dijadikan lokasi rehat dan rawat (RnR) buat pengguna jalan raya terutamanya kenderaan berat yang melalui laluan berkenaan kerana disediakan medan selera, surau dan tandas oleh Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM).

“Transformasi tapak tol pertama negara itu dilihat bukan sahaja memelihara nilai sejarah, malah menjadi pemangkin ekonomi setempat yang memberi manfaat terus kepada komuniti sekitar,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda