
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)/NIOSH Labuan
LABUAN, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Labuan dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melalui pejabatnya di WP Labuan menyantuni komuniti tempatan dengan menyumbangkan bakul makanan serta pelitup muka.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan LHDNM semalam, sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada wakil penduduk dan wakil gereja melalui pelaksanaan Program CSR Hasil Prihatin.
“Sehingga hari ini, sebanyak 8829 bakul makanan telah diserahkan kepada golongan terjejas dengan pandemik COVID-19 di Malaysia sejajar dengan aspirasi kerajaan yang menekankan konsep prihatin dan sentiasa peka dalam memelihara kebajikan rakyat.
“Program CSR Hasil Prihatin yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan pada 31 Julai 2021 yang lalu akan diteruskan dan diperluaskan lagi pelaksanaannya ke seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada dan Gereja Seventh-Day Adventist disempurnakan oleh Pengarah Cawangan LHDNM Labuan, Syaiful Nizam Abdul Majid.

Salah seorang Pegawai LHDNM Labuan menyampaikan pelitup muka kepada salah seorang penunggang motorsikal penghantar makanan.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Supian Musa, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Labuan Dzulfaizal Ab Manan dan wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan serta wakil-wakil gereja.
Sementara itu, Pejabat NIOSH Labuan pula menyumbangkan pelitup muka kepada penunggang motorsikal penghantar makanan dan kru teksi air.
“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan untuk menyokong usaha mengurangkan potensi penularan penyakit COVID-19 melalui program kesedaran ke atas kepentingan pemakaian pelitup muka.

Mohd Fazrin (kiri) menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada Peengarah Jabatan Laut Malaysia Labuan, Alimuddin Amirudin.
Ketua Pejabat NIOSH Labuan, Mohd Fazrin Jurnain menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada penghantar makanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala sumbangan kepada pemandu dan kru teksi air pula disampaikan melalui Jabatan Laut Malaysia Labuan.
-RI