
Laporan/foto: Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP), di sini hari ini.
Baginda bertitah pembangunan itu bukan sekadar simbol pembangunan fizikal, malah merupakan langkah strategik bagi memperkukuhkan kedudukan Perlis dan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan serta logistik serantau yang berteraskan pengangkutan darat intra-Asia, khususnya melalui jajaran rel Pan Asia.
“Pembangunan ini akan membuka lebih banyak peluang pelaburan, meningkatkan aktiviti perdagangan dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” titah Baginda.

Antara kontena kontena yang terdapat di Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di Perlis Inland Port Chuping Perlis.
Zon Perdagangan Bebas tersebut dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuhkan perdagangan rentas sempadan serta merancakkan sektor logistik dan perindustrian di utara Semenanjung Malaysia.
Kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand serta berada di laluan penting perdagangan ASEAN memberi kelebihan besar kepada negeri itu untuk berkembang sebagai hab perdagangan dan logistik serantau.
Baginda turut menyarankan agar Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian dan melaksanakan pelaburan strategik bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri berkenaan.
Baginda turut menegaskan bahawa manfaat pembangunan tersebut bukan hanya dinikmati oleh sektor perdagangan dan industri berskala besar, malah akan turut dirasai rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pendedahan generasi muda kepada potensi pasaran global.
Baginda turut menzahirkan harapan agar penggunaan nama baginda sebagai simbolik Zon Perdagangan Bebas itu akan terus menjadi lambang kemajuan dan kecemerlangan dalam sektor logistik serta perdagangan moden.
-FN





