
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Saipul Nizam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Setelah pengumuman harga siling bagi kit ujian pantas (RTK) COVID-19 ditetapkan pada kadar RM19.90 oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin minggu lepas, orang ramai mula mengunjungi kedai ubat dan farmasi berhampiran bagi mendapatkan kit tersebut.
Menurut seorang penduduk tempatan Norazlina Ali, 48 bulan lalu beliau pernah membeli RTK COVID-19 di farmasi bagi pihak adiknya yang menjalani kuarantin kendiri setelah menjadi kontak rapat rakan sekerja dengan harga RM40.
“Dengan penetapan harga siling bagi alat ujian kendiri COVID-19 ini secara tidak langsung memudahkan rakyat untuk mendapatkannya dengan harga mampu milik berikutan sebelum ini terdapat kedai dan farmasi yang menjualnya dengan harga yang mencecah sehingga RM200 setiap satu mengikut populariti jenama RTK tersebut.
“Bagi kami yang berpendapatan rendah harga yang dijual ketika ini sudah mampu milik dan tidak lagi membebankan seperti sebelum ini serta memudahkan rakyat untuk menjalankan ujian kendiri,” katanya ketika ditemui di salah sebuah farmasi di bandar ini, semalam.
Seorang pekerja farmasi, Adila Abdullah, 20, yang ditemui berkata sebelum ini majikannya pernah memaklumkan terdapat pembekal yang telah menjual RTK COVID-19 dengan harga lebih mahal berbanding harga siling yang diumumkan.
“Ketika itu, mujurlah kami tidak membeli stok dalam kuantiti yang banyak dan jumlah kerugian juga masih mampu ditanggung.
“Pada pendapat saya, sepatutnya harga RTK COVID-19 ini perlu ditetapkan lebih awal sebelum ia memasuki pasaran, ini bagi memastikan ianya dapat dikawal,” ujarnya.
Pemilik farmasi Nur Rabiatul Adawiah Mohd Said, memaklumkan terdapat beberapa jenama RTK yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di antaranya ujian air liur dan ujian saluran hidung yang mana kebanyakan kit ujian ini menggunakan nama COVID-19 Antigen Rapid Test Device.
“Setakat hari ini, hanya 16 jenama sahaja yang telah mendapat kelulusan dari KKM dan bagi mendapatkan maklumat tersebut para pengguna boleh melayari laman sesawang portal.mda.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera di bawah butang ujian kendiri COVID-19 dan keputusan ujian juga boleh dikemaskini di butang kemaskini keputusan ujian kendiri,” jelasnya.
Tambah beliau, para pengguna perlu mengikuti arahan yang telah disertakan di dalam kotak kit tersebut dan mereka tidak dibenarkan makan, minum atau memberus gigi satu jam sebelum menjalankan ujian tersebut.
“Di setiap kotak kit ujian ini juga terdapat kod QR yang jika di scan akan memaparkan video cara-cara menjalankan ujian kendiri bagi membantu para pengguna yang kurang faham berkaitan dengan penggunaannya.
“Manakala untuk mendapatkan maklumat berkaitan keputusan ujian, para pengguna boleh merujuk pada kertas arahan yang disertakan iaitu sama ada positif, negatif atau invalid dan sekiranya invalid, pengguna boleh ke farmasi yang berkaitan bagi menuntut ganti rugi,” ujarnya.
Fadhli Muji, 33, berkata sebelum ini beliau menjalani ujian COVID-19 di klinik swasta setelah menjadi kontak rapat kepada iparnya dan telah membayar sebanyak RM100 untuk perkhidmatan tersebut.
“Dengan adanya penjualan kit ini dengan harga mampu milik, sudah semestinya ia dapat mengurangkan bebanan rakyat seperti saya yang menghadapi masalah kewangan semasa pandemik ini berikutan syarikat tempat kerjanya telah ditutup sementara berikutan tidak mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.
“Selain itu, ianya juga dapat mengurangkan kesesakan di CAC KKM dan keputusan ujian juga dapat diperolehi lebih awal sekaligus dapat mengurangkan jumlah kontak rapat sekiranya individu itu telah mengetahui dirinya positif COVID-19,” katanya.
Beliau berpendapat, tindakan pantas memaklumkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera juga mampu mengawal penyebaran pandemik dari terus berleluasa.
-NI-