
Laporan/foto: Mohd Farid Izwan Drahman (Sarawak)
MATU, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Kampung Jemoreng merupakan salah satu lokasi bersejarah yang perlu diketengahkan kerana ramai orang tidak mengetahui kisah unik tentang tiang benitik atau tiang berukir iaitu tiang seri rumah yang dijadikan sebagai tempat ketua kaum bernama Orang Kaya Sergunim mengadili sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh penduduk Kampung Jemoreng pada zaman pemerintahannya.
Seorang penduduk kampung Che Iman Shahdan, 65, yang merupakan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal teruja untuk berkongsi kisah sejarah kepada masyarakat luar malah sering dirujuk oleh pelbagai pihak untuk mendapatkan cerita dan maklumat sejarah mengenai Kampung Jemoreng ini.
“Menurut cerita orang tua pada zaman itu, tiang benitik merupakan tiang yang digunakan untuk mengadili pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh penduduk kampung pada masa itu.
“Orang Kaya Sergunim mempunyai kuasa untuk mengadili setiap kesalahan yang dilakukan oleh penduduknya,” ujar Che Iman ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.
Menurut Che Iman, setiap kesalahan yang dilakukan oleh penduduk kampung akan diukir pada tiang benitik dalam bentuk binatang dan tambahnya sekiranya penduduk kampung melakukan kesalahan seperti berzina, maka Orang Kaya Sergunim akan membuat ukiran binatang seperti ayam yang mempunyai ekor pada tiang benitik selepas dibicarakan di hadapan penduduk kampung yang lain.
“Bagi kesalahan memfitnah pula, binatang yang menyerupai kala jengking akan diukir pada tiang benitik tersebut.
“Pada zaman dahulu, motif binatang digunakan kerana ramai penduduk kampung yang masih buta huruf, maka ukiran binatang dibuat untuk menunjukkan kesalahan yang dilakukan oleh penduduk kampong,” jelasnya.
Menurutnya, pada zaman dahulu tiang benitik ini pada asalnya memiliki saiz yang sangat besar dan dipenuhi dengan ukiran-ukiran kesalahan penduduk kampung pada masa itu.
“Saiz tiang benitik kini semakin mengecil dan ukiran-ukiran pada tiang semakin pudar disebabkan oleh faktor tinggalan sejarah yang sangat lama dan terbiar.
“Disebabkan perebutan kuasa antara dua beradik, Orang Kaya Segunim dan Orang Kaya Selair, maka Orang Kaya Selair telah mengupah orang kampung untuk membunuh Orang Kaya Segunim dan beliau mati dibunuh pada tiang benitik tersebut,” ujar Che Iman.
Sejak kematian Orang Kaya Sergunim, adiknya Orang Kaya Selair tidak pernah munculkan diri di Kampung Jemoreng malah ada yang mengatakan beliau telah melarikan diri ke Kampung Sekaan Besar dan meninggal dunia di kampung tersebut.
Che Iman berharap kepada semua penduduk di Matu, khusunya Kampung Jemoreng agar dapat bersama-sama mengekalkan dan mengetengahkan sejarah-sejarah yang ada di kampung ini supaya generasi akan datang dapat mengetahui tentang keunikan sejarah yang ada di sini.
-ZS-