
Laporan/foto: Syaiful Harif Adnan/Muhaimin Musa (WPKL)
KUALA LUMPUR, 17 Sep
(Malaysiaaktif) – Orang ramai khususnya penduduk Taman Bukit Cheras, di sini diseru untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 biarpun banyak kelonggaran telah diberikan kepada umum.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Cheras Emran Mohd Shah, berkata penduduk setempat tidak boleh alpa memandangkan virus COVID-19 masih ada di sekeliling terutamanya dalam komuniti.
“Pembukaan semula beberapa sektor ekonomi selepas kerajaan mengumumkan peralihan PPN dari fasa 1 ke fasa 2 menunjukkan petanda positif dalam merancakkan ekonomi negara.
“Harus difahamkan juga bahawa ini bukan masa untuk kita terus leka mengabaikan SOP dalam memerangi penularan wabak dan sedarilah kita sudah hampir dua tahun jalani kehidupan norma baharu,” katanya ketika ditemui pada Program Sepakat@Komuniti di Taman Bukit Cheras, di sini semalam.
Program berkenaan merupakan kerjasama KRT Taman Bukit Cheras bersama Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP) bersempena sambutan Hari Malaysia.
Turut diadakan majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Hadir sama Pegawai Perpaduan Parlimen Bandar Tun Razak/ Cheras Norashikin Tasor.
-ZS-