
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak
GOMBAK, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai tujuh pengunjung dikompaun selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pemeriksaan pihak berkuasa di kawasan air terjun Sungai Pisang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pengunjung dikompuan selepas dikesan tidak lengkap vaksinasi dan penjaga kawasan rekreasi pula gagal memastikan penjarakan fizikal pengunjung.
“Sebanyak 46 saman trafik turut dikeluarkan di Jalan Ulu Yam atas kesalahan meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan.

Anggota polis trafik sedang memeriksa penunggang dan motosikal yang berkunjung ke kawasan air terjun Sungai Pisang.
“Saman juga dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan trafik seperti tiada cermin sisi, tidak memakai topi keledar dan tiada lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga mengeluarkan dua kompaun dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
“Kawasan rekreasi dibenarkan dibuka untuk orang awam namun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kebenaran itu terkecuali bagi kawasan rekreasi yang diwartakan sebagai Kawasan Hutan Simpan Kekal,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dan video yang menunjukkan orang ramai melakukan aktiviti riadah dan mandi di kawasan Sungai Pisang tanpa mematuhi SOP sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
-RI