
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
PORT DICKSON, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Sektor pelancongan merupakan sektor paling terjejas dalam pandemik COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Abdul Rahman Mohd Redza, berkata kerjasama yang baik daripada semua dapat membawa keluar Negara daripada pandemik.
“Kita hendak apabila kita telah berjaya keluar dari pandemik ini, kita telah bersedia menerima kehadiran pelancong.
“Apabila kita telah selesai menghadapi pandemik ini, diharapkan sektor pelancongan dapat kembali bernafas dengan baik untuk kebaikan kita semua,” katanya ketika merasmikan Program PMR@Komuniti “Jom Jelajah Pokdeksen” sempena Sambutan Hari Malaysia 2021 Peringkat Jabatan Penerangan Negeri Sembilan di Temuan Homestay Kampung Orang Asli Bukit Kepong, di sini baru-baru ini.
Tambahnya, penerangan yang wajar perlu terus diberikan dalam usaha meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Penganjuran program ini pastinya membantu dalam menyebarkan mesej pentingnya vaksin pada masa kini,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, berkata pengisian program hari ini membantu dalam mempromosikan Port Dickson.
“Selain kita mengedarkan bahan penerbitan Jabatan Penerangan, kita turun ke lokasi-lokasi menarik yang ada di Port Dickson dalam usaha memberikan suntikan kembali kepada industri pelancongan di sini.
“Dalam pada itu, sempena dengan Hari Malaysia, kita juga perlu sedar akan pembentukan Malaysia dan generasi masa kini harus mengetahui tentang sejarah pembentukan ini,” katanya.
Terdahulu, upacara pelepasan peserta PMR@Komuniti “Jom Jelajah Pokdeksen” telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bagan Pinang Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.
Program anjuran Pejabat Penerangan Port Dickson telah disertai oleh 45 orang peserta dalam menjelajah sekitar Port Dickson dengan membawa mesej Hari Malaysia.
-FF