
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Kes COVID-19 di Malaysia meningkat semalam kepada 15,759 kes selepas lima hari berturut-turut mencatatkan trend penurunan dengan kelmarin merekodkan 14,345 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran menerusi akaun Twitter beliau memaklumkan Sarawak mencatat kes tertinggi semalam dengan 3,732 kes diikuti Johor (1,959), Selangor (1,934) dan Pulau Pinang (1,417).
“Tiga negeri lagi yang mencatat kes COVID-19 melebihi 1,000 kes ialah Kelantan (1,338), Sabah (1,291) dan Perak (1,184),” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, enam negeri merekodkan kes COVID-19 tiga angka semalam iaitu Kedah (786), Pahang (707), Terengganu (592), Kuala Lumpur (359), Melaka (264) dan Negeri Sembilan (127).
Sementara itu, Putrajaya, Perlis dan Labuan mencatat kes dua angka dengan masing-masing 34, 23 dan 12 kes.
— BERNAMA