
Laporan/foto: Noor A’mirah Daman Huri/Siti Noor Ain Mohd Zain (Kerian)
PARIT BUNTAR, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Lima PPV dibuka di sekitar daerah Kerian untuk vaksinasi remaja dan seramai 1074 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, di sini semalam.
Pegawai Perubatan dan Kesihatan Daerah Kerian Siti Azura Abdul Kahar, berkata program ini merupakan usaha kerajaan bagi menangani penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah sebaik sahaja bermulanya sesi persekolahan pada Oktober depan untuk perlindungan kesihatan yang selamat.
“Selepas Kementerian Pendidikan Malaysia membuat kenyataan untuk pembukaan sekolah pada bulan Oktober, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bekerjasama dalam memenuhi hasrat kerajaan mengelakkan daripada pelajar sekolah dijangkiti COVID-19 dengan lebih teruk.
“Lima buah sekolah yang beroperasi sebagai PPV adalah di Dewan SMK Panglima Bukit Gantang (beroperasi 22 dan 27 September 2021), Dewan Kolej Vokasional Kerian (beroperasi 23 September 2021), Dewan SMK Agama Kerian (beroperasi 24 September 2021) serta Dewan SMK Abu Bakar Al Baqir (beroperasi 25 September 2021), dan tarikh pembukaan PPV tersebut telah disusun atur serta dikelolakan oleh PPD Kerian untuk pemberian vaksin kepada pelajar di beberapa sekolah berdekatan bagi memudahkan urusan vaksinasi yang dijalankan oleh pihak PKD,” katanya semasa ditemui di SMK Panglima Bukit Gantang, di sini semalam.

Pelajar hadir bersama-sama ibu bapa atau penjaga bagi mendapatkan suntikan vaksin di SMK Panglima Bukit Gantang, di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Murid Zolkefli Jamaludin, mengucapkan terima kasih kepada PKD atas usaha sama menyokong kerajaan dalam menangani penularan COVID-19.
Vaksinasi diberikan kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebagai persediaan bagi pembukaan sekolah pada Oktober ini terutamanya kepada pelajar yang menduduki peperiksaan serta remaja yang menghidapi penyakit kronik, diikuti remaja yang tidak mempunyai masalah kesihatan atau perubatan.
~RJ~