
Laporan/foto: Muhammad Amirul Miza Mohd Tamizi/Azreen Ahmad (Jasin)
JASIN, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Selaras dengan pengumuman remaja berumur 18 tahun ke bawah boleh menerima vaksin, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPJ Alamanda Jasin mula memberikan suntikan vaksin kepada para pelajar sekolah menengah bermula semalam.
Menurut Pengurus PPV Dewan MPJ Alamanda Dr Nurul Atikah Anuar, seramai 371 pelajar daripada 600 pelajar yang dirancang mendapatkan suntikan di PPV ini telah datang dan menerima suntikan.
“Kami berharap pelajar yang telah mendapat temujanji vaksinasi supaya hadir bagi memastikan mereka mendapat suntikan untuk melindungi diri dan orang lain,” ujarnya ketika ditemui di PPV Dewan MPJ, di sini semalam.
Menurut Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah Nur Alya Khaliesa Khairul Anuar, 17, walaupun terdapat banyak berita negatif yang tersebar di media sosial, para pelajar seharusnya berfikiran secara rational dan menyemak kesahihan fakta sebelum mengambil tindakan.
“Saya gembira menerima suntikan vaksin dan mengesyorkan rakan yang lain turut sama hadir ke PPV untuk divaksin supaya dapat kembali belajar secara normal di sekolah.
“Kerana pembelajaran di sekolah lebih mudah difahami berbanding secara dalam talian,” katanya.
-FF