Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Belia Labuan Perlu Bangkit Hentikan Gejala Penyalahgunaan Dadah

By 25 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Para belia di Labuan diseru untuk bangkit dan sentiasa berganding bahu menghentikan gejala penyalahgunaan dadah.

Menurut Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, belia boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka.

“Bermula daripada ahli keluarga, jiran tetangga dan seterusnya ke peringkat komuniti serta masyarakat, para belia perlu memainkan peranan mereka terutamanya melalui pertubuhan belia untuk memerangi gejala yang boleh menjahanamkan masa depan negara ini.

“Belia perlu menjadi contoh tauladan yang baik dengan mengajak masyarakat di sekeliling untuk melakukan perkara yang baik dan menjauhi sebarang perkara negatif termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya ketika merasmikan Program Taklimat Isu-isu Semasa di Dewan Komuniti Sungai Lada, di sini hari ini.

Ketua Pegawai AADK Labuan, Abd Ghani Keruput menyampaikan taklimat pada majlis itu.

Ketua Pegawai AADK Labuan, Abd Ghani Keruput menyampaikan taklimat pada majlis itu.

Jelasnya, pertubuhan belia di wilayah itu perlu melipat gandakan penglibatan dalam membantu kepimpinan setempat merancang, menggerak dan melaksanakan program bagi memperkasakan aktiviti kemasyarakatan di samping meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan sosial.

“Perjuangan para belia untuk menjadikan komuniti di kawasan kita sebagai komuniti bebas dadah bukan sahaja boleh menyelamat beberapa individu tetapi ianya bakal menyelamatkan masa depan agama, bangsa dan negara ini untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.

Salah seorang peserta berinteraksi dengan penceramah jemputan.

Salah seorang peserta berinteraksi dengan penceramah jemputan.

“Hayatilah konsep Keluarga Malaysia yang disarankan oleh kerajaan bagi kita sama-sama menguatkan tekad dan azam dalam usaha untuk membebaskan negara daripada masalah dadah agar kemakmuran serta kesejahteraan keluarga besar kita ini dapat direalisasikan,” jelasnya.

Menurut Bashir, sebanyak 321 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di Labuan pada tahun ini dan 74 peratus daripadanya adalah mereka yang berumur 18 hingga 39 tahun.

“Melalui data ini, dapat dilihat penyalahgunaan dadah berada pada tahap membimbangkan dan terdapat juga kes penyalahgunaan yang bermula pada peringkat usia remaja seawal 10 tahun,” tambahnya.

Para tetamu jemputan bergambar kenangan bersama para peserta yang terlibat.

Para tetamu jemputan bergambar kenangan bersama para peserta yang terlibat.

Pada program itu, para peserta yang terdiri daripada para belia tempatan diberikan taklimat berkaitan isu-isu penyalahgunaan dadah oleh penceramah daripada Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Labuan.

-RI

Tinggalkan komen anda