
Laporan/foto: Joshua Amir Sibat (Sarawak)
JULAU, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Hampir tiga dekad berkecimpung dalam seni kraftangan menganyam manik, Emlda Joacim Watt, kini tersenyum lega hobi serta bakat yang diwarisinya itu kini menjadi punca pendapatan tambahan.
Menurut Emlda Joacim Watt, 46, yang berasal dari Song Kapit, minatnya dalam seni menganyam manik terus digilap sejak berusia 17 tahun kerana permintaan pada ketika itu tinggi yang mana pelanggannya terdiri daripada kawan-kawan, kenalan setempat, serta peminat hasil seni kraftangan tradisional sekitar Kapit dan Sibu.
“Saya mengusahakan perniagaan ini berskala kecil kerana tiada dana mahupun bantuan dari mana-mana pihak, bergerak dengan modal sendiri, promosi dan publisiti juga lemah kerana jaringan internet yang terhad di luar bandar serta hanya akan melakukannya sebaik sahaja menerima tempahan.
“Saya ada membuat marik empang, selampai, rantai, gelang tangan, tali leher, perhiasan kepala, perhiasan kreatif dengan corak tradisional, rawai manik dan pelbagai lagi berdasarkan citarasa dan permintaan pelanggan,” kata Emlda ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.
Menurut Emlda, harga produk kraftangan yang dihasilkan dipengaruhi harga pasaran manik, saiz produk dan juga corak yang mana turut mempengaruhi jangka masa siap melibatkan lingkungan harga RM100 hingga ke RM400.
“Permintaan ke atas produk kraftangan Emlda agak berkurangan sekarang kerana saya menetap di kawasan pedalaman berbanding di kawasan bandar sebelum ini.
“Asas corak dicipta berdasarkan corak asli mengikut keterangan moyang dan kini lebih banyak merujuk dalam grup Whatsapp dan cetusan ilham daripada rakan-rakan.
“Saya berharap sekiranya ada individu, persatuan, mahupun agensi terlibat yang ingin membantu mengembangkan lagi perusahaan ini, hanya dana sebagai modal membeli manik inilah yang terlintas di fikiran selain publisiti,” ujar ibu kepada empat orang anak yang berhasrat membantu suami menambah baik ekonomi keluarga.
-ZS-