
Laporan/foto: Khairunnisa Abd Rahman/Nur Fariza Farnoh (Melaka Tengah)
MELAKA, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited bertemu masyarakat khususnya dalam kalangan remaja bagi memberikan penerangan berkaitan undi 18 tahun.
Penolong Pengarah (Pendidikan Pengundi) Akademi Pilihan Raya SPR Malaysia Amar Soufwan Morazuki, telah berkongsi ilmu kepada peserta-peserta program dengan mensasarkan golongan belia berusia 18 tahun khususnya, yang telah dibenarkan mengundi dalam pilihan raya akan datang.
“Kami di SPR sentiasa turun padang untuk berkongsi ilmu berkaitan Pendidikan Pengundi tentang Demokrasi Berparlimen, dan yang terbaharu tentang undi 18 di mana pendaftaran pengundi berusia 18 tahun adalah secara automatik bermula tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Program Cambah Minda anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka secara dalam talian, semalam.
Penolong Pengarah Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI) JaPen Melaka Redzuan Musa, sangat berpuas hati dengan sambutan belia yang menyertai program dan berharap agar program seperti ini akan diteruskan lagi.
“Alhamdulillah saya sangat teruja kerana program hari ini mendapat kerjasama padu daripada pihak SPR Malaysia, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan Kelab Malaysiaku dalam memastikan matlamat program ini dapat dicapai dan diterima oleh semua peserta.
“Saya berharap agar kerjasama yang baik dalam penganjuran program ini dapat diteruskan lagi dalam program-program lain pada masa akan datang,” ujar Redzuan.
Presiden MGBM Mohd Ridhwan Mohd Ali, turut berkongsi pandangan tentang Undi Belia Penentu Masa Depan Negara dan fungsi MGBM untuk belia.
“MGBM ada lebih 20 pertubuhan yang mewakili pelbagai latar belakang orang muda di negeri Melaka dan MGBM juga merupakan platform terbaik untuk menyuarakan pandangan atau permasalahan belia dan sangat aktif menjadi saluran untuk mengiktiraf belia di Melaka.
“Program ini yang turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka, Angkatan Belia MFLS Melaka dan Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah,” katanya.
-FF