
Laporan/foto: Jufie Nadheera Mohd Hanafi/Rajeswari Anbazagan (Seputeh)
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 40 penduduk di kawasan Seputeh menerima sumbangan bakul makanan bagi meringan beban penduduk di kawasan itu.
Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tiew Chin Boon, berkata program bersama komuniti seperti ini secara tidak langsung dapat mewujudkan satu bentuk interaksi secara terus dengan masyarakat.
“Selain itu, kita juga dapat mengenal pasti kekangan yang dihadapi oleh masyarakat di sini dengan lebih lanjut walaupun dalam skala yang kecil mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Aktiviti atau program sebegini perlu diperbanyakkan lagi bagi mengeratkan silaturrahim antara masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Program Sepakat@Komuniti Parlimen Seputeh anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) di Dewan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Menurut Pengarah JaPen WPKLP Lim Ann Teck, program anjuran jabatan ini dilaksanakan dengan kerjasama MPP Sub Zon 4 dan Sub Zon 5 Parlimen Seputeh.

Penerima sumbangan bakul makanan terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan termasuklah warga emas.
“Program yang turut diadakan di Dewan Kawasan Rukun Tetangga Zon M ini menyaksikan penerima bantuan daripada mereka yang kurang berkemampuan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.
Turut hadir Pengerusi MPP Sub Zon 4 Parlimen Seputeh Lim Yan Jang dan Pengerusi MPP Sub Zon 5 Parlimen Seputeh Pang Kin Cheong.
-ZS-