
Laporan/foto: Suzaima Ibrahim/Mohamad Yusof (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Pegawai Waran Satu Rejimen Ke-6 Artileri Diraja (6 RAD), Mohd Shah Rizad Mohd Shah menasihati anggotanya bahawa kerjasama dan komitmen kerja berpasukan amat penting dalam menjayakan sesuatu misi mahupun operasi yang diamanahkan.
Mohd Shah Rizad, berkata penglibatan dalam pelbagai latihan dan operasi seperti Op Daulat, Op Daratan, Op Belasah, Op Pesisir Pantai, Op Murni dan Op Penawar seharusnya dijadikan pemangkin untuk terus meningkatkan kerjasama demi memastikan operasi yang disertai berjaya.
“Kerjasama ini juga akan menjadikan Pasukan 6 RAD lebih kuat untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dalam memastikan keselamatan tanah air terjamin.
“Saya juga berharap setiap anggota dapat mencorak atau membentuk sahsiah diri yang baik, sepanjang tempoh perkhidmatan kerana 21 tahun (tempoh bersara) atau 26 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, baik buruk sepanjang tempoh itu ditentukan oleh kita sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa sempena persaraan wajib beliau di Kem Lok Kawi, di sini baru-baru ini.
Mohd Shah Rizad mula berkhidmat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jun 2001 dan bertugas di 6 RAD sejak Disember 2001 setelah tamat latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) .
Anak kelahiran Muar, Johor tersebut merupakan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) 6 RAD yang ke-10 sejak September 2017 dan akan menghadiri Kursus Latihan Peralihan pada Oktober ini sebelum bersara wajib pada Jun depan.
-RI