Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

OSCAC Pasir Gudang Ditutup Setelah Lapan Bulan Beroperasi

By 8 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faridah Ismail (Johor)/JaPen

JOHOR BAHRU, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Pusat Sehenti Penilaian COVID-19 Pasir Gudang (OSCAC) mengumumkan penutupan secara rasmi pada pukul 1 tengah hari tadi setelah memulakan operasi pada 31 Januari yang lalu.

Selain Pasir Gudang, OSCAC Bukit Indah turut ditutup manakala operasi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di klinik kesihatan terpilih akan bermula pada 10 Oktober ini.

Petugas kesihatan memakaikan gelang kepada pesakit terakhir yang hadir di OSCAC Pasir Gudang.

Petugas kesihatan memakaikan gelang kepada pesakit terakhir yang hadir di OSCAC Pasir Gudang.

Menurut Ketua Pakar Perubatan Keluarga Negeri merangkap Ketua Pusat Sehenti Penilaian COVID-19 (OSCAC) Pasir Gudang Dr. Rohaya Abdullah, penutupan OSCAC Pasir Gudang adalah berikutan peralihan ke arah fasa endemik COVID-19 dan penurunan purata kes positif COVID-19 di kawasan sekitar Johor Bahru.

“Terdapat keperluan bagi desentralisasi pengurusan pesakit COVID-19 termasuk CAC bermula 9 Oktober 2021.

“Selain itu, situasi kes yang semakin menurun dengan purata 150 ke 100 kes sahaja sehari manakala kes kontak rapat pula sekitar 50 kes sehari, jadi kami desentralisasi CAC ke klinik-klinik kesihatan yang terpilih,” katanya ketika ditemui meninjau proses penutupan OSCAC, di sini hari ini.

Petugas kesihatan melakukan proses doffing selepas OSCAC Pasir Gudang ditutup secara rasmi sekitar pukul 1 petang tadi.

Petugas kesihatan melakukan proses doffing selepas OSCAC Pasir Gudang ditutup secara rasmi hari ini.

Tambah beliau, klinik kesihatan (KK) yang akan terlibat di antaranya ialah KK Mahmoodiah, KK Larkin, KK Tebrau, KK Majidee, KK Sultan Ismail, KK Ulu Tiram, KK Masai, KK Pasir Gudang, KK Kempas, KK Tampoi, KK Bukit Indah, KK Taman Universiti dan KK Gelang Patah.

“Dari awal penubuhannya, secara purata terdapat 60 orang petugas termasuk sukarelawan, doktor dan jururawat daripada tujuh buah klinik kesihatan di kawasan Tebrau yang telah bertugas di sini.

“Setelah CAC ini ditutup, para petugas kesihatan ini boleh mengaplikasikan segala pengalaman yang diperolehi ketika bertugas di sini di klinik kesihatan pula,” ujarnya.

Beliau menyarankan para pesakit COVID-19 untuk melakukan penilaian tahap kesihatan awal dengan membuat notifikasi kendiri di https:tinyurl.com/vcacjohor.

“Petugas kesihatan akan menghubungi pesakit dalam tempoh 48 jam dan tarikh janji temu ke klinik akan diberikan.

“Para pesakit tidak dibenarkan hadir ke klinik kesihatan secara jumpa terus,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda