Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

JoeyGaze: One Handed BMX Rider Malaysia

By 10 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Ketidakupayaan fizikal tidak menghalang seorang ahli sukan basikal lasak gaya bebas BMX untuk terus menyertai pelbagai program melibatkan aktiviti basikal tersebut yang diadakan di pelbagai lokasi terutamanya di sekitar daerah sini.

Gelaran ‘One Handed BMX Rider’, Md. Fathul Rasheed Sabri, 37, atau lebih dikenali sebagai JoeyGaze dalam kalangan ahli sukan basikal lasak, berkongsi pengalaman menceburi aktiviti berbasikal semenjak tahun 2000, sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2007 yang menyebabkan kecederaan kekal di bahagian kiri tangan.

“Kecederaan itu memaksa saya untuk berehat dari melakukan aktiviti berbasikal lasak terutama aksi gaya bebas dan saya hampir berputus asa ketika itu.

“Namun semangat dan kecintaan yang tinggi dalam sukan ini, saya kembali beraksi dalam dunia gaya bebas BMX selepas kemalangan itu walaupun aksi gaya bebas kini terbatas tidak seperti dulu,” jelasnya ketika ditemui di Klinik BMX Freestyle Flatland sempena Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Kuala Muda di Kompleks Riverfront City Pekan Baru, di sini semalam.

Md. Fathul berkata, ramai pihak termasuk ahli kumpulannya, UnderNorth BMX Sungai Petani memberi dorongan serta turut mempunyai saluran Youtube sendiri iaitu JoeyGaze bagi berkongsi pengalaman dan minat dalam aktiviti gaya bebas BMX.

“Saya pernah diundang ke Brazil kerana keistimewaan yang saya miliki ini, namun tidak dapat ke sana kerana beberapa kekangan.

“Ini merupakan satu penghormatan dan saya bangga kerana saya satu-satunya pemain gaya bebas BMX yang menggunakan sebelah tangan ketika beraksi,” ujarnya lagi.

Klinik BMX Freestyle Flatland ini bertujuan untuk mencungkil bakat baharu serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan basikal lasak BMX.

Pasukan UnderNorth BMX Sungai Petani berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat menyediakan prasarana kepada peminat sukan lasak berbasikal ini terutamanya golongan muda supaya dapat berkecimpung secara sihat.

~RJ~

Tinggalkan komen anda