
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Zayana Isa (Kuantan)
KUANTAN, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Mengharapkan orang ramai memartabatkan serta memandang sukan Basikal Motocross daripada sisi yang positif, itulah antara harapan Pemenang Pingat Gangsa BMX Flatland Sukan Sea 2019 di Filipina, Shiekh Muhammad Taslim Razif atau lebih dikenali sebagai Botak Kuantan.
Menurut Shiekh, semenjak sukan BMX ini dipertandingkan di kejohanan antarabangsa, banyak perubahan telah berlaku termasuklah persepsi masyarakat terhadap sukan ini, malah sukan ini sudah mula mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya golongan belia.
“Saya melihat atlet muda dalam sukan BMX ini sangat berbakat dan berpotensi, jadi saya juga berharap satu hari nanti ada atlet muda yang mewakili Malaysia ke persada antarabangsa dan sekaligus memertabatkan sukan BMX ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, beliau mula menceburi sukan ekstrem ini pada tahun 2004 sewaktu masih lagi bersekolah.
“Minat saya bermula setelah melihat sebuah rancangan televisyen yang memaparkan program sukan ekstrem ini.
“Sejak itu saya mula menjinakkan diri dengan membuat aksi dan latihan di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Daerah Kuantan,” ujarnya.
Beliau berkata kenangan paling manis adalah ketika memenangi pingat gangsa dalam Sukan Sea 2019 yang mana ia merupakan pencapaian yang paling tinggi pernah dicapai.
Shiekh Muhammad Taslim Razif turut membuat penampilan khas di sambutan Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Negeri Pahang yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
-AH-