
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
Kuala Terengganu, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Pengumuman rentas negeri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 Oktober lalu disyukuri oleh rata-rata pengunjung yang ditemui ketika tinjauan di Pasar Payang, di sini semalam.
Bagi seorang pengunjung dari Temerloh, Nor Azwani Zahanudin, 27, berkata dia mengambil kesempatan melancong ke Terengganu apabila sempadan negeri telah dibuka.
“Terengganu merupakan destinasi pertama saya bercuti memandangkan sebelum ini, setiap bulan saya akan membawa ayah saya datang ke sini,” katanya.
Tambah Nor Azwani, Pasar Payang merupakan destinasi kegemaran setiap kali keluarganya berkunjung ke sini dan mereka sekeluarga amat tertarik dengan keindahan negeri ini selain orangnya yang sangat ramah dan mesra.
Norfatimah Mohamad, 29, yang berasal dari Dungun memberitahu dia mengambil kesempatan membawa anak-anak mengunjungi bandar Kuala Terengganu memandangkan terlalu lama berkurung di rumah.
“Pantai Batu Buruk salah satu lokasi persinggahan setiap kali kami datang ke sini dan anak-anak sangat gembira beriadah di sini.

Norfatimah Mohamad mengambil kesempatan membawa anak-anak mengunjungi bandar Kuala Terengganu memandangkan terlalu lama berkurung di rumah.
“Saya amat bersyukur dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dan saya berharap masyarakat di luar sana menghargai kebebasan ini dengan menjadi warga yang bertanggungjawab iaitu sentiasa membuat penilaian risiko sebelum ke satu-satu lokasi awam, agar lekuk COVID-19 dapat dilandaikan,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang Penarik Beca, Abd Wahab Abdul Rahman, 76 meluahkan rasa syukur apabila kebenaran rentas negeri diberikan kerana penderitaan hilang punca pendapatan tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan tiada pelanggan mendapatkan khidmat becanya.

Penarik Beca, Abd Wahab Abdul Rahman, 76 meluahkan rasa syukur kerana pelanggan bertambah selepas rentas negeri dibenarkan.
“Sebelum ini pelanggan-pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan beca adalah pelancong yang datang dari luar Negeri Terengganu.
“Alhamdulillah, semenjak kelonggaran rentas negeri pendapatan kami di sini meningkat berbanding sebelum ini,” katanya.
Manakala bagi Mohd Haikal Shamsul Bahari,18, pekerja kereta api hiburan di Pantai Batu Buruk amat bersyukur apabila dapat kembali bekerja setelah kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.
Katanya, sepanjang kebenaran rentas daerah dan negeri dibenarkan berlaku peningkatan pelancong dari dalam dan luar negeri ini berkunjung di sini bersama keluarga.

Mohd Haikal Shamsul Bahari, 18 pekerja kereta api hiburan di Pantai Batu Buruk amat bersyukur apabila dapat kembali bekerja.
“Sepanjang tempoh ini, pendapatan kami dan juga penjaja-penjaja makanan di sini kian mendapat sambutan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Haikal turut berharap suasana sebegini berpanjangan dan masyarakat tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan kelonggaran yang diberikan.
Katanya, jika kebenaran ditarik balik, pengusaha kecil seperti mereka akan rebah.
–ii-