
Laporan/foto: M. Anizan Mat Daud/Nursaliza Shapie (Tumpat)
TUMPAT, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 1,000 peserta menyertai Program Jelajah Larian Obor Kesihatan Mental Torch of Hope Run: Stop the Stigma, Mental Health for All dan Plogging Walk Peringkat Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat 2026 di Pantai Sri Tujoh, di sini kelmarin.
Program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam usaha menghapuskan stigma terhadap isu berkenaan.
Pegawai Kesihatan Daerah Tumpat, Dr. Hasneezah Hassan berkata pendekatan melalui aktiviti fizikal dan penyertaan komuniti mampu membantu memperluas pemahaman masyarakat mengenai kesihatan mental serta kepentingan mendapatkan sokongan dan bantuan apabila diperlukan.
“Program tersebut merupakan kesinambungan kepada pelancaran peringkat Negeri Kelantan yang diadakan pada awal Julai lalu,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Larian santai dan Plogging Walk sejauh 3.1 kilometer itu disertai warga Jabatan Kesihatan Negeri, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah serta masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran dan khidmat bimbingan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penjagaan kesihatan fizikal dan mental.
Seorang peserta, Hanim Ismail, 43, berkata program seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental menerusi gaya hidup sihat dan persekitaran yang positif.
“Masyarakat perlu mengambil peluang menyertai program seperti ini dan menjadikannya sebahagian daripada amalan kehidupan seharian,” katanya.
-FN




