Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Makanan Tradisi Air Tangan Ibu Ubat Rindu Sambut Deepavali

By 5 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Rasa rindu menikmati makanan tradisi air tangan ibu sedikit terubat selepas dapat menjamah muruku dan manisan bekalan yang dibawa dari kampung baru-baru ini.

Itu perasaan yang dizahirkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Logavenosh Ragawan, 22, ketika ditemui di Kuil Sri Pasupathinath Alayam pagi semalam selepas menyelesaikan sembahyang khas sempena Deepavali.

“Atas usaha sekretariat Kesenian Kebudayaan dan Warisan India Malaysia (SEKWIM) UMS, saya dan 20 rakan-rakan yang tinggal di kampus dan yang menyambut Deepavali berseorangan di luar kampus dapat bersama-sama hadir ke sini bagi meraikan perayaan hari ini.

Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Logavenosh Ragawan.

Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Logavenosh Ragawan.

“Sebelum datang ke sini, saya sempat membuat panggilan video awal pagi tadi dengan ibu dan ayah memandangkan ayah yang bertugas sebagai Station Master di Bas Perak Transit terpaksa bekerja hari ini,” kongsi pelajar tahun 3, Fakulti Psikologi dan Pendidikan ketika ditemui di kuil tersebut, di sini semalam.

Bagi pelancong dari Kuala Lumpur, Doris Nesamalar, 39, kelonggaran kerajaan negeri membenarkan rentas negeri pada 1 November lalu, memberi peluang kepadanya dan keluarga untuk bercuti dan menyambut Deepavali di sini.

“Saya bersama suami dan tiga orang anak tiba di Sabah dua hari lepas dan kelmarin kami berada di Kundasang dan merancang untuk sembahyang di kuil, kami dapat tahu daripada internet, kuil ini dibuka kepada orang ramai untuk sembahyang jadi kami datang ke sini.

IMG-20211104-WA0017

Doris Nesamalar, pelancong dari Kuala Lumpur.

“Ini adalah kali pertama kami menyambut Deepavali di luar Kuala Lumpur dan hanya melibatkan keluarga sendiri sahaja, perasaan agak seronok dan teruja kerana dapat sembahyang di kuil dan berjumpa dengan komuniti India di negeri ini yang semuanya peramah.

“Selepas ini kami akan melawat sepupu saya yang belajar di UMS dan akan keluar bersama mencari makanan India sebelum pulang ke Kuala Lumpur esok,” ujarnya yang pertama kali bercuti ke Sabah bersama keluarganya.

Setiausaha Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Datin Komathy Pulivendahn.

Setiausaha Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Datin Komathy Pulivendahn.

Dalam pada itu, Setiausaha Kuil Sri Pasupathinath Alayam Datin Komathy Pulivendahn, 49, berkata sambutan perayaan Deepavali tahun ini agak meriah kerana dapat bersama-sama tiga dari empat orang anaknya.

“Pada tahun ini, saya gembira dapat meraikan Deepavali bersama anak-anak memandangkan tahun lepas mereka tidak dapat bersama kerana belajar di Kuala Lumpur.

“Persiapan tahun ini agak sederhana di mana kami datang ke kuil pada sebelah pagi untuk sembahyang khas dan membantu pihak kuil mengagihkan bungkusan makanan kepada mereka yang hadir dan selepas itu pulang meraikan Deepavali bersama dengan keluarga,” kongsinya yang telah menetap selama 17 tahun di negeri ini kepada pemberita.

Antara persiapan sambutan Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam.

Antara persiapan sambutan Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam.

Beliau berkata, antara menu istimewa yang telah disediakan untuk dinikmati bersama keluarganya adalah muruku, papadom, manisan, nasi beriani, dal, ayam kurma, kambing varuval dan sebagainya.

“Seramai lebih tiga ratus pengunjung beragama Hindu hadir melaksanakan upacara sembahyang khas sempena Deepavali di kuil ini yang bermula pukul 7.00 pagi hingga 9.00 malam dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda