
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) telah menganjurkan Karnival Jualan Barangan Malaysia yang bermula pada 11 sehingga 14 November 2021 di Dataran Chenang, Pulau Langkawi.
Karnival dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan produk-produk tempatan dengan tema beli barangan Malaysia selain menjadi satu inisiatif KPDNHEP bagi membantu usahawantempatan dalam memasarkan produk-produk mereka kepada orang ramai sekali gus turut membantu usahawan menjana semula ekonomi pasca COVID-19 ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Abdul Wahid berkata dalam ucapan perasmian Program Karnival jualan ini diadakan bertujuan mempromosikan produk-produk tempatan dengan tema beli barangan Malaysia.
“Program ini juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu usahawan-usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan memasarkan produk-produk mereka kepada orang ramai,” katanya.
Tambahnya, Langkawi dipilih sebagai tempat pelancaran pada hari ini kerana Langkawi menjadi tumpuan orang ramai dan masyarakat seluruh negara untuk dikunjungi selepas gelembung pelancongan dibenarkan.
“Selepas saya berada di Langkawi dua hari, pengunjung atau pelancongan memang telah menampakkan satu pemulihan yang memberansangkan dan lantaran itu kita yakin pemilihan tempat ini adalah suatu yang tepat serta kena pada masa daripada suasana yang sesuai selepas kita dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri selepas COVID-19,” ujarnya lagi.
Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Romani Wan Salin berkata, umum mengetahui negeri Kedah amnya dan Pulau Langkawi khususnya merupakan desinasi pelancongan terkenal yang juga dikenali sebagai Permata Kedah.
“Selain daripada produk pelancongan, Pulau Langkawi turut melahirkan usahawan tempatan yang menghasilkan produk-produk tempatan merangkumi pelbagai produk makanan tempatan dan kraf tangan seperti seramik, batik, ukiran kayu, anyaman dan pelbagai lagi yang pastinya bekualiti dan menjadi daya penarik kepada para pelancong,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia ini bukan sahaja diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran dan mendorong pengguna untuk menyokong seterusnya membeli barangan Malaysia, tetapi turut memberi pilihan yang lebih luas kepada pembeli dan rakyat secara umumnya.
“Sebagai seorang pengguna, kita pastikan setiap perbelanjaan juga adalah lebih nilai untuk wang (value for money), berpatutan dan berkualiti,” ujarnya lagi.
Salah seorang pempamer yang ditemui , Nor Asaikin Arifin, Kuala Lumpur, merasa bersyukur kerana dapat menyertai pameran dalam program kali ini.
“Alhamdulilah kerana kita dapat memperkenalkan produk kita dan berkongsi manfaat produk selain dapat mengenali ramai peniaga serta pembawa produk tempatan di Malaysia dan pada masa yang sama, kita masih mencari ramai lagi pengusaha yang boleh membawa produk kita untuk diedarkan di kawasan Langkawi dan sekitarnya,” katanya lagi.
“Saya berharap supaya program seperti ini dapat dijalankan lagi selepas ini supaya lebih ramai pengusaha-pengusaha atau pengeluar produk-produk tempatan dapat memasarkan produk di Malaysia, insyaAllah,” ujarnya lagi.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Mohd Rahman Shaari, Kampung Temoyong, 47, berkata, program yang diadakan sangat bagus kerana banyak membantu pembeli dan pengusaha tempatan memasarkan produk masing-masing.
“Saya berharap program –program seperti ini boleh diteruskan lagi pada masa hadapan kerana banyak membantu pembeli dan pengusaha di kawasan ini terutamanya di Pulau Langkawi,” katanya lagi.
Karnival Jualan ini melibatkan 20 usahawan tempatan sekitar negeri Kedah khususnya zon utara amnya yang meliputi jenama-jenama barangan seperti Mahsuri Gold, Datai Valley, Puteh, Twopai Craft, Lwi Blue, Lazy Lizard, Dkawi, Alazat, Mak Minah, Aurabees, Mismis, MH Saujana, Latte Langkawi, Sue’s Collection Langkawi, Kraftangan Malaysia, Swag, Tiffin Jeiwa, Mokti’s, Nurey’s dan Adraa By Rosyam.
Hadir bersama dalam majlis perasmian ini ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato Haji Juhari Bulat, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin, Pegawai Daerah Langkawi, Haji Saiful Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib.
~RJ~