
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
Zon Maritim Labuan merampas satu bungkusan dadah disyaki jenis syabu bersama sebuah bot gentian di perairan Menumbok, awal pagi semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan rondaan OP Sejahtera 1/2006, OP Benteng Laut Timur 1/2020 dan OP Kuda Laut 2/2020 telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 12.30 pagi.
“Sebaik dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju melarikan diri menuju ke kawasan Tanjung Kelias, Menumbok, Sabah.
“Suspek berjaya meloloskan diri namun hasil pencarian di kawasan sekitar menemui sebuah bot gentian kaca dan dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 900 gram di dalam bot terbabit,” katanya.
Tambahnya orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.
-ZS-