
Laporan/foto: Geraldine Voo Yee Wen/Vicky Matanjang
KOTA MARUDU, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Togudon Geotrail, Geotapak Sg Baliajong menjadi peluang penduduk setempat menjana ekonomi dalam sektor pelancongan.
Pengasas dan perintis awalnya Jeson Majimal berkata warisan geologi Kota Marudu amat berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan.
“Saya nampak satu peluang untuk membantu para penduduk kampung meningkatkan taraf hidup masing-masing menerusi aktiviti pelancongan.
“Oleh itu satu Jawatankuasa Pusat Rekreasi dibentuk pada 9 September 2019 untuk membangunkan tempat ini sebagai tapak penyelidikan lapangan, tempat rekreasi dan juga pendidikan awam mengenai warisan dan alam sekitar,” katanya ketika ditemui semasa Penilaian Aspiring Kinabalu UNESCO Global Geopark (aKUGGp), di sini pada Rabu.
Menurutnya Penyelidik Geologis Universiti Malaysia Sabah Professor Dr Felix Tongkul dan Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark Professor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo juga berpendapat bahawa tempat ini amat berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan geologi.
“Sehubungan itu, kawasan ini termasuk dalam penilaian untuk menerima status Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” ujarnya lagi.
-ZS-