
Laporan/foto: Eviannie Kin/Johnny Joklis
KOTA BELUD, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Usaha pendedahan simulasi mengenai situasi dan proses pilihan raya akan membantu generasi muda terutamanya yang berumur 18 tahun agar celik serta bersedia untuk terlibat langsung dalam proses demokrasi sebenar.
Perkara itu diakui oleh pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, di sini Muhammad Alif Nazmi Mohd. Yusof, 18, yang berkongsi pengalaman pertamanya mengundi seperti proses pilihan raya negara bagi pemilihan presiden dan naib presiden Kelab Malaysiaku di sekolahnya.
“Begini cara-cara untuk membuang undi. Saya baru faham proses dan hak sebagai pengundi menerusi penganjuran program ini,” katanya ketika ditanya sejauh mana kefahaman mengenai proses demokrasi negara.
Sementara itu, Intan Suhaila Muhd. Dzacqgrey, 18, mengutarakan pandangan bahawa Undi 18 adalah bagus kerana anak muda diberi peluang untuk mengundi serta hak untuk memilih pemimpin negara.
Alif dan Intan ditemui media dalam Program Amalan Demokrasi Berparlimen Kelab Malaysiaku bersama 572 orang pelajar lain di sekolah itu, semalam. Ia merupakan program anjuran Pejabat Penerangan Kota Belud dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya.
-ZS-