
Laporan/foto: Nor Emylia Lot
KUALA NERUS, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Sambutan luar biasa sempena program RXZ Members 4.0 di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini membuktikan para belia di dalam negara menyokong program berkenaan diadakan setiap tahun.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata penganjuran karnival permotoran tersebut berjaya menarik minat golongan belia di dalam negara.
Menurutnya beliau objektif utama penganjuran karnival ini adalah dalam usaha membangunkan sukan permotoran tempatan disamping memberi platform lebih selamat untuk anak muda negara berlumba.
“Penyertaan pada kali ini bukan sahaja daripada kalangan golongan belia tetapi berjaya juga menarik minat dari semua peringkat umur dan jantina,” katanya ketika ditemuramah di sini semalam.
“Hampir 30,000 peserta dari pelusuk seluruh negara berjaya dikumpulkan semasa program berkenaan dan kebanyakan peserta yang ditemui mahukan program ini dilaksanakan setiap tahun seperti ini,” ujarnya lagi.
Himpunan jentera Yamaha RXZ ini adalah yang terbesar di Malaysia yang dianjurkan buat kali keempat, selepas kali pertama diadakan pada 2017 dan kali terakhir pada 2019.
-ZS-