
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, menyedari hal itu, kerajaan tidak pernah lupa untuk mengiktiraf usaha, sumbangan dan pencapaian seluruh warga belia dalam negara termasuklah di Labuan.
“Pelbagai inisiatif khusus untuk membantu golongan belia diperkenalkan kerajaan, antaranya bantuan kewangan dan program keusahawanan, makanya ayuh belia Keluarga Malaysia, rebutlah dan manfaatkanlah semua peluang, ruang dan inisiatif yang ditawarkan ini bagi membangunkan kebolehtahan, sekali gus memajukan diri.
“Marilah kita bersama-sama membentuk landskap pembangunan negara berteraskan nilai Keluarga Malaysia demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,”katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2022, di sini semalam.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Labuan bagi tahun 2022 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada individu dan pertubuhan yang dinilai oleh panel profesional.
-ZS-