
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan
LABUAN, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian program yang dianjurkan seperti Pertandingan Tarian Singa mampu menjadikan suasana di pulau itu lebih meriah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Mohd Ismail, program sebegitu juga menjadi daya tarikan kepada pengunjung dan pelancong luar untuk datang ke Labuan.
“Sememangnya kita memerlukan suatu program yang mempunyai variasi dan keunikan tersendiri bagi mencapai visi untuk menjadikan Labuan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong yang terkenal di seluruh Malaysia,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Tarian Singa Terbuka Labuan 2023 anjuran Labuan Society, di sini semalam.
Tambahnya, penganjuran pertandingan itu juga sejajar dengan tema Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 iaitu ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’ yang membawa maksud Wilayah Persekutuan sebagai bandar cerminan nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan dalam kalangan komuniti terutamanya di Wilayah Persekutuan Labuan.
Sebanyak 10 pasukan iaitu tujuh dari Sabah dan tiga dari Labuan menyertai pertandingan tersebut yang diadakan di Medan Selera Labuan.
-ZS-