
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Sabah)
TUARAN, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Kekangan kewangan tidak menjadi penghalang bagi Kallenz Barthez Jafili untuk terus berkecimpung dalam sukan Muay Thai.
Anak jati Tamparuli yang berusia 21 tahun itu mula meminati sukan Muay Thai sejak berusia lima tahun.
“Saya menyertai bidang seni mempertahankan diri, bermula dengan mengikuti pertandingan Muaythai dan Kickboxing.
“Sasaran utama ingin memasuki divisyen profesional dalam bidang ini dan seterusnya bersedia untuk pertandingan liga besar yang lain pada masa akan datang,” ujar beliau ketika ditemui di Padang Astaka Tuaran, semalam.
Tambah beliau, kekangan kewangan dan tanggungjawab terhadap keluarga tidak menghalang untuk menjadi pemain Muay Thai yang hebat.
“Saya berharap dapat mewakili Malaysia sekali gus ingin menjadi juara dunia dan mengharumkan nama negara pada masa akan datang,” kongsinya.
Untuk rekod, Kallenz pernah mendapat pingat emas di Jincheon World 1st Youth Martial Arts Mastership Korea pada tahun 2017 dan perak di IFMA Youth Muaythai Asean Abu Dhabi tahun 2019.
-ZS-