
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Media Putrajaya
LABUAN, 16 Sep (Malaysiaaktif) – 32 orang ahli Kelab Media Putrajaya berpeluang menikmati makanan tradisi masyarakat Labuan sambil ditemani angin malam di Pantai Kampung Tanjung Aru Nelayan, di sini semalam.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Pantaran Biskita Awangku Sazali Pengiran Salleh, pihaknya bersama Persatuan Kebudyaan, Muzik dan Kesenian Kadayan Labuan (KUMALA) menyambut ketibaan Kelab Media Putrajaya dengan paluan gendang Sambut Tetamu.
“Acara dimulakan dengan paluan gendang Sambut Tetamu dari KUMALA dan seramai 15 orang ahli Persatuan Pantaran Biskita meraikan kunjungan Kelab Media Putrajaya dengan menari bersama mereka.
“Selepas itu mereka dibawa untuk aktiviti menyuluh ketam sebelum semuanya dijamu dengan makanan tradisi tempatan ambuyat,” katanya.
Menurut kenyataan Perbadanan Labuan pula, lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian Program ‘fam trip’ 4 hari 3 malam anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan pada 2024.
Antara lokasi lawatan lain adalah Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar yang diwartakan Taman Laut Labuan, Labuan Geopark dan pusat perusahaan ikan bilis.
-ZS-